PETALING JAYA – Orang ramai kesal dengan perkhidmatan mengambil gambar oleh jurugambar jalanan yang sebelum ini dilaporkan di sekitar Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, kini didakwa ‘berjangkit’ pula di Pintasan Saloma.
Menerusi hantaran seorang pengguna Thread Turis Sesat, dia didakwa berdepan situasi berkenaan sewaktu mahu mengambil gambar dan video di Pintasan Saloma serta mendapati, banyak tempat cantik dikatakan ‘ditakluk’ oleh jurugambar jalanan.
“Aku pergi Pintasan Saloma nak ambil gambar dan video untuk promosi Visit Malaysia 2026, tapi ‘spoil’ geng-geng mana entah datang ni.
“Dia orang ni dah pindah dari depan KLCC ke Pintasan Saloma ke? Dia orang conquer (takluk) spot cantik. Tak bagi peluang orang lain ambil gambar kat situ,” katanya pada hantaran berkenaan.
Lelaki itu turut mendakwa, pelancong luar negara juga sedih kerana tidak dapat bergambar di kawasan yang telah ‘ditakluk’ oleh mereka.
“Nak ambil gambar kat situ kena ambil servis mereka. Mohon kerajaan letak polis pelancong atau anggota DBKL duduk depan KLCC dan Pintasan Saloma ni. Jangan biarkan mereka merosakkan industri pelancongan,” katanya.
Luahan itu turut dipersetujui oleh pengguna Thread yang lain dan mereka mencadangkan tindakan perlu diambil ke atas perbuatan tersebut.
“Dah lah mahal ye, satu gambar RM5. Kalau pergi negara dia orang, servis gambar ni murah je. Datang sini ambil kesempatan,” komen pengguna Thread Surayacuyaarifin.
“Aku marah depan KLCC dia orang kacau tahun lepas. Rosak mood aku nak pergi KLCC dengan keluarga. Ni Pintasan Saloma pula. Aku kecewa tahu tak? Aku nak dengar bahasa Melayu,” komen @Sophie_mrssmith.
“Dia orang tu kurang ajar. Depan mata aku, dia halau dua minah saleh pelancong sebab nak kan spot tu ambil gambar mangsa dia orang. Kalau tak dilayan, tak ada lah menjadi-jadi aktiviti puak muka tebal ni. Aku ni jadi rimas bila lalu nak balik rumah, dia orang asyik panggil. Jenis tak reti bahasa,” komen @Mq_chah.
Kosmo! Online pada 28 Julai lalu melaporkan, sekurang-kurangnya 30 jurugambar jalanan dikenakan tindakan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran pihak berkuasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi di bawah KL Strike Force itu mendapati operasi berjalan meskipun berlaku sedikit kekecohan apabila terdapat seorang individu enggan memberi kerjasama.
Rata-rata jurugambar di lokasi tersebut adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an. – KOSMO! ONLINE