fbpx
Anwar berucap pada Penutupan Program Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Muda Masa Hadapan 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Transformasi digital perlu adil, kekal nilai budaya Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kejayaan transformasi digital negara tidak boleh hanya bergantung kepada kehebatan teknologi, sebaliknya mesti disertai dengan akses sama rata dan mempunyai jati diri budaya Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecerdasan buatan (AI) kini menjadi asas penting dalam memacu perubahan negara, namun pelaksanaannya perlu berhati-hati agar tidak menambah jurang ketidaksamarataan antara rakyat.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan keterhubungan bukan hanya untuk golongan elit di bandar, tetapi juga untuk masyarakat berpendapatan rendah serta penduduk luar bandar.

“Jika kita dapat pastikan keterhubungan di luar bandar, barulah AI akan berjaya. Jika tidak, ia hanya akan menambah jurang ketidaksamarataan.
“Seluruh dunia, termasuk strategi ekonomi kita sendiri, sedang berdepan dengan isu peningkatan ketidaksamarataan. Maka, jika AI diperkenalkan tanpa mengambil kira hakikat ini, ia pasti memberi kesan dan membawa kegagalan dalam memastikan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di majlis penutup Program International Young Future Leader Summit di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, AI perlu menjadi bidang ilmu yang merentas semua disiplin di universiti agar rakyat lebih bersedia menghadapi arus perubahan digital.

“AI memang mempunyai kemampuan luar biasa untuk menghasilkan pelbagai perkara, tetapi hasilnya tetap bergantung kepada maklumat dan ilmu yang dimuatkan ke dalam sistem tersebut.

“Jadi, tugas kita ialah untuk mempersiapkan para intelektual muda, ahli akademik, teknologis dan pakar-pakar kita supaya mereka mampu mempertahankan jati diri, budaya dan nilai keagamaan kita sendiri,” katanya.

Justeru beliau berkata, kekuatan negara dalam era AI terletak pada kemampuan anak muda memadukan kemajuan teknologi global dengan nilai, budaya dan keyakinan sendiri.

“Apa yang ‘dimuntahkan’ oleh AI ialah apa yang ‘ditelan’ oleh sistem itu seperti ilmu dan pandangan pakar.

“Tanggungjawab kita ialah memastikan yang dimasukkan itu juga datang daripada akal budi dan budaya bangsa kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI