fbpx
Gambar hiasan

Wanita muat naik hantaran nikah palsu kerabat raja tidak perlu ke psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memutuskan bahawa kes wanita memuat naik hantaran sijil pernikahan palsu dirinya dengan kerabat diraja tidak perlu menjalani pemeriksaan psikiatri sekali lagi.

Hakim Suhaila Haron berkata laporan perubatan psikiatri terhadap Persana Avril Sollunda, 43, telah diperolehi daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak yang mana tertuduh layak untuk dibicarakan.

“Sebarang isu berkaitan ubat boleh dirujuk terus kepada pihak hospital. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 31 Oktpber ini manakala tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 3 hingga 5 Disember ini dikekalkan,” katanya.

Terdahulu pihak pembelaan Wanita itu memohon supaya pemeriksaan psikiatri terhadap wanita itu dibuat sekali lagi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Rubhern Raj yang mewakili Persana Avril Sollunda, 43, pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron di sini hari ini.

Menurut peguam itu, pemeriksaan sekali lagi tersebut berikutan ubat yang sedia ada tidak berkesan selain Parsana Avril yang barada dalam kandang tertuduh turut memaklumkan perkara sama.

“Ubat saya tidak berkesan, saya tidak dapat kawal badan bila tidur saya akan mundar-mandir dan lepas ambil ubat jatuh sakit,” kata Parsana Avril.

Mendengar permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Izzat Amir Idham berkata, bahawa laporan perubatan psikiatri Persana Avril yang dikeluarkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak sebelum ini sudah memadai.

“Laporan perubatan yang telah dikeluarkan oleh hospital (Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak) adalah memadai. Sekiranya terdapat apa-apa berkaitan dengan ubat yang tidak berkesan, sewajarnya pihak peguam menulis satu surat atau berhubung dengan pihak penjara,” katanya.

Pada 22 Julai lalu, Persana Avril diperintah menjalani rawatan dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh sebelum prosiding diteruskan.

Kemudian pada 17 September lalu, pihak pendakwaan memaklumkan Persana Avril layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini selepas menerima laporan perubatan psikiatri tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Persana Avril didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran video gambar sijil pernikahan palsu kerabat raja di TikTok dengan niat menganggu orang lain pada 25 Februari lalu.

Hantaran video itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 26 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Wanita itu ditahan untuk disoal siasat pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Mac lalu, tetapi dibebaskan selepas itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI