HULU SELANGOR – Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) ditemukan maut akibat serangan jantung di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.15 pagi memaklumkan mengenai penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di lokasi tersebut.
“Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan aktiviti berbasikal secara bersendirian.
“Pemeriksaan ke atas tubuh lelaki itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran, pergaduhan atau unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat Mohd. Saiful Izzuwan Roslan, 39, dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
Katanya, punca kematian lelaki itu adalah disebabkan serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Khadijah Nus di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE