fbpx
Gambar hiasan.

Lelaki warga Tajikistan ditahan ugut bunuh diri depan kedutaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Seorang lelaki warganegara Tajikistan ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk membunuh diri di hadapan Kedutaan Tajikistan di sini sekiranya tuntutan mendapatkan pasport baharunya tidak dipenuhi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai kedutaan yang memaklumkan suspek berusia 27 tahun itu kerap bertindak agresif sejak awal tahun ini.

“Suspek dikatakan datang ke pejabat kedutaan untuk menuntut pasport baharu namun enggan mengikut prosedur ditetapkan selain menjerit dan cuba memasuki premis tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek juga didapati berkeliaran di kawasan kedutaan pada waktu malam, membuat panggilan telefon menggunakan kata-kata kesat serta mengeluarkan ugutan lisan terhadap pegawai kedutaan.

“Suspek turut menghantar mesej mengugut akan membunuh diri di hadapan kedutaan jika permintaannya tidak dilayan serta memuat naik video berunsur tohmahan terhadap pihak berkuasa Tajikistan,” katanya.

Mohd Azam berkata, hasil risikan membawa kepada tangkapan suspek di kawasan Ampang pada pukul 11.20 pagi, Rabu lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau manakala saringan air kencing negatif dadah.

“Mahkamah membenarkan reman selama empat hari bermula Khamis hingga hari ini bagi siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap permohonan pasport barunya tidak diproses oleh pihak kedutaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan ugutan melalui telefon bimbit,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI