SEREMBAN – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat untuk meneruskan misi bantuan ke Gaza agar supaya menyalurkannya melalui Kementerian Luar bagi memastikan urusan penghantaran berjalan lancar dan diiktiraf pihak berkuasa antarabangsa.
“Mereka yang mempunyai semangat tinggi untuk membantu rakyat Gaza, Alhamdulillah sama-sama kita membantu. Namun elok bantuan dibuat secara gabungan daripada kita bersepah-sepah secara individu.
“Lebih baik ia dilaksanakan melalui pengetahuan Kementerian Luar,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan Deepavali 2025 di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Mesir dan Jordan, maka bantuan kemanusiaan boleh masuk ke Gaza melalui dua pintu utama iaitu Rafah dan Jambatan King Hussein.
“NGO perlu memaklumkan kepada Wisma Putra supaya kementerian boleh menyelaras dan memaklumkan kepada kerajaan Mesir dan Jordan tentang operasi bantuan yang akan dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad mengesahkan kehadiran Presiden Amerika Syarikat bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN–AS serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di Malaysia dan keputusan menjemput Donald Trump dibuat secara konsensus oleh ASEAN. Oleh itu Malaysia sebagai tuan rumah perlu akur dengan keputusan tersebut. – KOSMO! ONLINE