fbpx
DALAM melindungi diri dan keluarga, ada yang terperangkap dilema berbelanja untuk insurans hingga menjejaskan keperluan harian. - GAMBAR HIASAN

Nak carum insurans, jangan sampai pokai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS melalui tempoh sukar pandemik Covid-19, rakyat Malaysia dilihat lebih berhati-hati dalam aspek kewangan mereka. Pengalaman hilang kerja, pengurangan gaji dan tekanan kos sara hidup menyedarkan orang ramai tentang kepentingan mempunyai pelan kewangan kukuh ketika kecemasan pada masa akan datang.

Pengalaman memberi peringatan bahawa memiliki asas kewangan kukuh bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.Kini, orang ramai mula menilai semula polisi insurans, membina dana kecemasan dan mendapatkan nasihat kewangan.

Dalam keghairahan melindungi diri dan keluarga, ada yang terperangkap dalam dilema berbelanja untuk insurans hingga menjejaskan keperluan harian.

Menurut Pensyarah Kanan Taylor’s University, Dr. Lee Chee Chong, keinginan untuk melindungi diri dan keluarga kadangkala boleh tersasar apabila seseorang itu berbelanja secara berlebihan untuk insurans sehingga menjejaskan keperluan asas.

“Insurans itu penting, tetapi ia mesti seimbang dengan kemampuan kewangan seseorang. Perlindungan yang baik tidak sepatutnya membuatkan anda tertekan untuk membayar komitmen lain,” katanya.

Beliau mencadangkan pendekatan mudah iaitu Peraturan 70-20-10 bagi mereka yang mencari kaedah membahagikan pendapatan bulanan mengikut tiga kategori.

Sebanyak 70 peratus digunakan untuk keperluan asas seperti rumah, makanan dan utiliti, 20 peratus untuk simpanan dan matlamat masa depan seperti pendidikan dan persaraan, manakala 10 peratus untuk insurans.

Peraturan itu bukan sahaja mudah, bahkan membantu mengekalkan keseimbangan keperluan semasa dan masa depan.

“Sebanyak 10 peratus adalah sempadan perlindungan anda.Jika anda membelanjakan lebih hingga menjejaskan simpanan, itu tanda untuk menilai semula keutamaan kewangan,” katanya.

Sama seperti menjaga kesihatan, melindungi kesihatan kewangan juga memerlukan keseimbangan, disiplin dan berkala.

Ujarnya, kesihatan kewangan bukan sekadar memiliki insurans, tetapi memastikan semua aspek kewangan dalam keadaan harmoni iaitu hutang terkawal, simpanan mencukupi, perlindungan daripada risiko, dan kemampuan untuk melabur demi masa depan.

Mengabaikan keseimbangan ini boleh menyebabkan tekanan jangka panjang.

“Apabila kesihatan kewangan kukuh, anda bukan sahaja memperoleh ketenangan minda, tapi bersedia hadapi kejatuhan ekonomi, mengurus perbelanjaan tidak dijangka dan membuat keputusan penting seperti memulakan keluarga, tukar kerjaya atau bersara tanpa tekanan.

“Paling penting anda dapat lindungi orang tersayang tanpa mengorbankan kestabilan diri sendiri,” katanya.

Pada asasnya, perlindungan kewangan mampan bermaksud melindungi masa depan dengan cara yang tidak melemahkan kehidupan masa kini.

Insurans hanyalah satu daripada alat dalam ‘kotak peralatan kewangan’. Dengan mengekalkan keseimbangan dan mengamalkan pendekatan berstruktur seperti Peraturan 70-20-10, kita dapat memastikan kesihatan kewangan kekal kukuh untuk jangka panjang, tidak kira apapun ketidaktentuan yang menanti pada masa hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN