KUANTAN – Pemaju perumahan perlu memberi penekanan terhadap kualiti pembinaan agar pembeli tidak menjadi mangsa kepada rumah ‘substandard’ yang tidak menepati piawaian.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, aspek kualiti merupakan elemen utama yang perlu diutamakan dalam setiap projek perumahan demi kesejahteraan rakyat.
“Kualiti itu mustahak. Kalau beli rumah substandard tak bagus, itu ada elemen penipuan. Rumah mesti ada kualiti dan ruang yang sesuai untuk keluarga, sama ada besar atau kecil,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan D’Marina Bayu Fasa 2B, di Tanjung Lumpur, di sini, semalam.
Citaglobal Berhad menerusi anak syarikatnya, Citaglobal Property Development Sdn Bhd dengan kerjasama PR1MA melancarkan fasa 2B Projek Perumahan D’Marina Bayu terdiri daripada 120 unit rumah teres dua tingkat yang dijangka siap hujung tahun depan.
Setiap kediaman dalam fasa baharu direka ‘mesra solar’ bagi membolehkan pemilik memasang panel solar di bumbung dan menikmati penjimatan bil elektrik sehingga 60 peratus.
Baginda bertitah, selain kualiti, faktor tambahan seperti kemudahan internet, sistem solar dan reka bentuk mesra pengguna turut menjadi nilai tambah kepada kediaman masa kini.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan kepentingan memastikan projek perumahan disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan bagi mengelakkan beban kos tambahan kepada pemaju dan kontraktor.
“Kalau tidak siap pada masa yang ditetapkan, akan ada ‘cost overrun’ dan kos pembinaan akan meningkat. Akhirnya, pembeli pula yang akan tanggung sebab harga rumah jadi tidak kompetitif,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE