fbpx
KEADAAN kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di Maran malam semalam.

Suami isteri maut, empat cedera trak pikap terbabas dalam hujan lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Sepasang suami isteri maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah trak pikap dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, kenderaan jenis Toyota Hilux berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands menuju ke Kemaman, Terengganu sebelum hilang kawalan ketika hujan lebat dan terbalik.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, kedua-duanya merupakan pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar di Kampung Geliga, Kemaman.

Katanya, empat penumpang lain yang cedera ialah pekerja warung mereka iaitu Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45, serta seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan,8.

“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan sedang bergerak di lorong kiri ketika tiba-tiba terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam longkang selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin.

“Permukaan jalan ketika itu lembap dan keadaan gelap dan trak pikap berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan serta cermin pecah,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI