fbpx
Gambar hiasan.

Sidang Kemuncak ASEAN: Lencongan trafik secara berperingkat bermula 23 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lencongan trafik secara berperingkat di sekitar ibu negara bermula 23 Oktober ini sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pelaksanaan pengurusan trafik ini merupakan langkah keselamatan dan penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta keselamatan sepanjang acara berlangsung.

“Lencongan trafik akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 23 Oktober 2025 di kawasan-kawasan utama sekitar Kuala Lumpur.

“Pada 23 dan 24 Oktober, aktiviti raptai pergerakan motoked akan dijalankan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel-hotel penginapan delegasi serta ke KLCC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh raptai tersebut, lencongan sementara akan dilaksanakan di lebuh raya dan jalan utama yang menghubungkan KLIA ke ibu negara.

“Manakala dari 25 hingga 28 Oktober, penugasan penuh anggota JSPT bersama pelaksanaan lencongan jalan raya secara berperingkat akan dilakukan, melibatkan kawasan sekitar satu kilometer dari KLCC,” ujarnya.

Tambah Mohd. Yusri, langkah pengurusan trafik ini adalah satu keperluan bagi menjamin kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang merupakan acara antarabangsa terbesar Malaysia pada tahun ini.

“Kerajaan dan JSPT menyeru seluruh rakyat untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta menyokong usaha dalam menjayakan sidang kemuncak ini, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI