WASHINGTON – Presiden Donald Trump memberi jaminan rakyat Palestin tidak akan diusir dari wilayah Semenanjung Gaza di bawah pelan gencatan senjata 20 perkara hasil cadangannya, lapor portal berita TRT Global, semalam.
Trump turut menyatakan bahawa perjanjian itu telah dimuktamadkan sepenuhnya.
“Tiada siapa yang akan dipaksa untuk meninggalkan (Gaza). Tidak, malah sebaliknya. Kami langsung tidak berhasrat untuk melakukan perkara itu.
“Ini adalah satu pelan yang hebat. Ini adalah pelan damai yang hebat. Ini pelan yang mendapat sokongan semua pihak,” kata Trump.
Beliau berkata sedemikian apabila ditanya oleh wartawan sama ada rakyat Palestin akan diusir dari Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan.
Trump berkata, beliau merancang untuk melawat Asia Barat hujung minggu ini.
“Saya rasa ia akan menjadi sesuatu yang hebat. Saya rasa semua tebusan akan dibebaskan pada Isnin atau Selasa (depan).
“Saya mungkin akan berada di sana (Gaza). Saya berharap dapat berada di sana. Kami merancang untuk berangkat pada Ahad ini dan saya menantikannya,” kata Trump kepada wartawan di Oval Office. – AGENSI














