PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa bangga terhadap lapan pelajar kejururawatan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, Kelantan.
Menurut beliau, pelajar terbabit menunjukkan sikap prihatin, cakna dan nilai ihsan yang tinggi apabila membantu pasangan warga emas yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.
“Malam tadi seorang kenalan dari Johor, Datuk Ismail menelefon saya untuk berkongsi keterujaan beliau melihat anak-anak Mara yang sanggup membantu sedaya upaya pasangan warga emas yang mengalami kecederaan serius akibat kereta mereka dilanggar lori.
“Kebetulan bas yang mereka naiki berhenti di tempat kejadian iaitu di Gua Musang. Menurut Datuk Ismail, pelajar-pelajar ini minta pemandu bas berhenti dan cuba membantu sedaya upaya berasaskan ilmu dan kemahiran yang mereka perolehi dari KPTM,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau sempat mengadakan panggilan video dengan pelajar terbabit bagi mengucapkan syabas dan melahirkan rasa bangga terhadap mereka.
Menurut beliau, pelajar KPTM terlibat ialah Nur Najwa Alias, Noor Aireen Shafika Mohd. Sharudin, Nurul Jasmin Jasman dan Sue Syazwanie Jaafar Nur Najlaa Romli.
Kata beliau, pelajar KPTM lain yang terlibat membantu mangsa kemalangan tersebut ialah Siti Balqis Ismail, Nur Sarah Abdullah dan Faizzatul Asniza Rozmi.
“Sesungguhnya kalian generasi Mara kebanggaan seluruh warga KPTM dan Mara. Moga menjadi model teladan buat semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE














