SERDANG – Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) mengesahkan semua 145 aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel, hari ini.
Kamarul Zaman Shaharul Anwar Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare) berkata, peguam Aadalah telah berjumpa dengan sebahagian delegasi dan proses guaman masih berlangsung.
Menurut beliau, ada yang mengalami keganasan semasa pemintasan, dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka, awal petang ini.
“Setakat ini, laporan kami terima sembilan delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat, dan tujuh daripada mereka telah bertemu dengan peguam Adalah untuk urusan guaman selanjutnya.
“Peguam Adalah telah pun menuntut untuk hadir di semua perbicaraan dan akan memberikan maklumat terkini tidak lama lagi,” kata beliau ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, kemungkinan tiga delegasi Ahli Parlimen Turki akan dihantar pulang malam ini atau pagi esok.
“Perbicaraan tribunal akan berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang. Buat masa ini para peguam Adalah dalam perjalanan ke penjara,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, sembilan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan FFC x TMTG dipintas pada pukul 10.50 pagi semalam waktu Malaysia.
Mereka yang ditahan itu merupakan sukarelawan gelombang ketiga misi kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa pakar perubatan, wartawan antarabangsa, aktivis kemanusiaan dan Ahli Parlimen.
Susulan itu, Adalah memaklumkan telah menulis kepada pihak berkuasa Israel bahawa pertubuhan itu akan mewakili semua peserta flotila dan menuntut akses segera kepada mereka sebaik tiba di Israel. – KOSMO! ONLINE