KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi besar untuk menjadi hab rundingan dan dialog keamanan rantau ASEAN berikutan kedudukannya yang strategik serta pengalaman dalam memupuk keharmonian masyarakat majmuk.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kedudukan Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara bukan sekadar menjadikan negara ini titik pertemuan sejarah dan tamadun, tetapi juga membuka ruang besar bagi memainkan peranan penting dalam membina keamanan serantau.
“Malaysia mempunyai komitmen jangka panjang terhadap penglibatan secara aman. Sebagai masyarakat majmuk yang telah melalui pelbagai cabaran dan terus berkembang, kita percaya keamanan perlu dibina, dilindungi dan diperbaharui,” katanya ketika merasmikan Persidangan Keamanan Kuala Lumpur 2025, di sini, hari ini.
Menurut Zambry, sudah tiba masanya untuk Malaysia memainkan peranan lebih efektif dalam mengekalkan keamanan global.
“Seperti yang kita saksikan baru-baru ini, krisis yang berlaku antara jiran kota iaitu Thailand dan Kemboja. Sudah sampai masanya Malaysia memainkan peranan lebih efektif dengan keberadaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku pemain utama dalam hal ehwal antarabangsa ini.
“Kita mengharapkan Malaysia akan menjadi tempat di mana dunia akan mencari mereka yang berperanan dapat mewujudkan keamanan sama ada di rantau kita mahupun di mana-mana tempat khususnya yang melibatkan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan sebagainya,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia sering tampil ke hadapan dalam saat-saat sukar untuk membuka ruang dialog apabila pihak lain memilih berdiam diri.
“Di Mindanao dan Selatan Thailand, kita memilih pendekatan bersemuka ketika berdiam diri mungkin lebih mudah, dan memilih untuk membina kepercayaan ketika keadaan lebih cenderung ke arah pengunduran,” katanya. – KOSMO! ONLINE