SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan berstatus orang kurang upaya (OKU) pembelajaran disyaki dirogol seorang kelindan lori yang dikenalinya menerusi satu kumpulan WhatsApp sejak lima bulan lalu di sebuah rumah dekat Taman Sejati, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa mendakwa sering berhubung melalui telefon dengan suspek.
“Pada Isnin lalu, suspek mengajak mangsa yang berasal dari Pendang untuk berjumpa sebelum membawa mangsa ke rumah milik keluarganya yang tidak berpenghuni di Taman Sejati. Mangsa dipujuk untuk bermalam di rumah berkenaan dan mangsa mendakwa dirogol oleh suspek kira-kira pukul 2 pagi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya dan kemudian mereka bertindak membuat laporan polis.
“Berdasarkan laporan itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk pemeriksaan dan suspek ditahan pada pukul 9 malam tadi untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE