SEPANG – Seramai 13 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Captain Praba’, lebih setahun lalu.
Mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terdiri daripada M.Lavindran, 27, M.Meganathan, 37, M.Tinesh, 20, K.Utayaragu, 29, M.Thinesh, 31, S.Jeevan, 19, J.Sangaranarayanan, 28, P.Joshua, 35 dan M.Devindran, 25.
Turut didakwa M.Nokarju, 29, S.Tivagaran, 22, S.Logeswaran, 26 dan D.Vijayakumar, 36.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’ di ladang kelapa sawit, Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 sehingga 11 September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala 10 tertuduh diwakili peguam.
Meganathan, Sangaranarayanan dan Vijayakumar tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE