KOTA BHARU – Tidak tahan ketagihan merupakan antara alasan yang diberikan oleh perokok semasa dikompaun mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana merokok di tempat awam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kebanyakan mereka yang ketagih merokok tidak menghiraukan larangan selain ada yang menganggap penguatkuasaan tidak dilakukan di premis berkenaan terutama kedai makan.
“Dengan pelbagai kaedah dan saluran maklumat yang dibuat sejak tahun lalu, orang ramai sepatutnya tidak lagi menggunakan alasan tidak tahu berhubung larangan berkenaan.
“Bagaimanapun, kita yakin ramai yang sudah sedar dan patuh dengan larangan berkenaan dan hanya segelintir masih berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Selamat Paru-paru (Ops Selamat PaPa) sempena Penguatkuasaan Sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober lalu, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zaini memberitahu, sebanyak 11,784 notis kompaun bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta 852 dikeluarkan sejak Oktober tahun lalu sehingga bulan lalu.
Beliau berkata, kebanyakan kes yang dikompaun itu melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 16 iaitu merokok di kawasan larangan termasuk kedai makan.
“Sejumlah 21 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun termasuk kes peniaga menjual rokok kepada kanak-kanak bawah umur,” katanya – KOSMO! ONLINE