fbpx
Zul Ariffin memohon maaf sekiranya aksi merokok yang dipamerkan menerusi sebuah video baru-baru ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.

Saya mohon maaf kepada yang tegur secara baik – Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon Zul Ariffin memohon maaf sekiranya aksi merokok yang dipamerkan menerusi sebuah video baru-baru ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.

Menurut Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin, 40, dia tidak berniat untuk mempromosi apatah lagi mengajak khalayak merokok yang umum mengetahui merupakan tabiat buruk sehingga boleh memudaratkan kesihatan.

“Apa yang berlaku ketika itu hanyalah satu tabiat buruk yang saya sendiri tidak pernah berniat untuk menggalakkan atau mepromosikannya kepada orang ramai.

“Hakikatnya ketika itu saya cuma duduk menikmati angin, minum kopi dan secara spontan minta diambilkan video kerana suasana sangat cantik.

“Namun, di sini saya tetap ingin memohon maaf kepada semua yang menegur dengan baik selepas melakukan tabiat buruk itu termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun mereka tidak ada sebut apa-apa. Perkara itu tidak akan berlaku lagi, saya janji,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem terbaharunya, The Furious: Pertaruhan Maruah di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia menegaskan tidak akan sesekali memohon maaf kepada individu yang meninggalkan komen keterlaluan dan bersifat menghina di media sosial.

“Saya tidak akan minta maaf kepada mana-mana penunggang kesihatan, orang yang komen negatif dan melampau dalam Threads. Saya perlu tegas tentang benda begini.

“Kalau kalian komen buruk, semua itu menggambarkan akhlak kalian, bukan akhlak saya,” jelasnya.

Jelasnya, tindakan membalas sebuah hantaran sinis dengan perkataan ‘and’ (dan) hanyalah tindakan spontan selain tidak berniat untuk mempertahankan aksi merokoknya.

“Jangan terus melabel saya sebagai sombong atau angkuh. Saya hanya minum kopi dan membalas sindiran secara spontan kepada individu yang memulakan sindiran terhadap saya.

“Saya akui perkara itu satu tabiat buruk dan tidak akan berulang lagi.

“Jadi tak perlulah sampai menjadi terlalu kecoh. Tenang-tenang sajalah,” katanya lagi.

Dia juga terbuka untuk menerima sebarang teguran tetapi sepatutnya dilakukan dengan cara yang betul berbanding meninggalkan komen berbaur sindiran dan sarkastik.

“Tiba-tiba perkara tersebut menjadi kecoh dalam media sosial macam buat kesalahan besar, seperti saya ini mencuri tabung masjid.

“Saya cuma maksudkan, kalau nak sindir, teruskan saja sebab sebelum ini memang tak ambil tahu kerana tidak aktif dalam Threads,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, tindakan Zul memuat naik video memaparkan dia sedang merokok menerima pelbagai reaksi netizen termasuk komen daripada akaun viral Public Health Malaysia (PHM) yang mengucapkan tahniah kepada pelakon itu kerana sudah mempromosikan tabiat berkenaan kepada umum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN