PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu segera mengadakan pemilihan presiden baharu bagi memudahkan segala urusan rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan ia dapat dilakukan secara teratur.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, Datuk Christopher Raj menggesa badan induk itu supaya segera mengadakan pemilihan presiden baharu tanpa perlu menunggu hingga tahun depan susulan krisis pemalsuan dokumen pemain warisan yang kini mencetuskan masalah besar dalam arena bola sepak negara.
Christopher turut menjelaskan bahawa FIFA hanya akan berurusan secara rasmi dengan Presiden dan Setiausaha Agung FAM, bukan dengan mana-mana pihak lain, justeru pemilihan segera amat penting bagi memastikan proses komunikasi dan rayuan dapat dijalankan dengan teratur.
“FAM mesti segera memilih presiden baharu. Kita tidak perlu tunggu sampai tahun depan kerana sekarang tiada pemimpin. Sebuah persatuan yang tiada nakhoda. Dengan krisis yang sedang berlaku, siapa pemimpin yang akan membawa isu ini ke FIFA? Tiada.
“Kenapa FAM mahu tunggu Februari untuk buat pemilihan? Mereka sepatutnya melakukannya pada November atau Disember. Tidak kira siapa jadi presiden, yang penting proses pemilihan perlu dijalankan segera,” katanya.
Terdahulu, FIFA menerusi laporan rasmi FIFA bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” mendedahkan semakan yang dilakukan terhadap dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain warisan tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar, iaitu tidak dilahirkan di Malaysia.
Bagaimanapun, FAM mendakwa FIFA melakukan rumusan tidak tepat berhubung isu pemalsuan dan pengubahsuaian dokumen tujuh pemain warisan dan akan menggunakan segala saluran untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara dan hak pemain. – KOSMO! ONLINE