KOTA TINGGI – Penduduk Kampung Sayang di sini hidup dalam keadaan tertekan ekoran masalah lalat yang semakin serius didakwa berpunca daripada perusahaan reban ayam yang terletak berhampiran kediaman mereka.
Seorang penduduk, Nizam Wahab, 53, berkata, ia semakin serius sejak dua bulan lalu apabila jumlah lalat bertambah banyak setiap hari terutama ketika hujan dan waktu malam.
Katanya, bukan sahaja masalah lalat, malah penduduk juga terpaksa berdepan masalah bau busuk dedak dan najis ayam setiap malam.
“Kami makan sekali sahaja sehari itu pun pada waktu malam menggunakan cahaya pelita atau lilin. Nak makan pun tak selesa baru buka makanan, lalat terus hurung.
“Pada waktu malam jika buka lampu lalat datang menghurung kerana tertarik pada cahaya. Tidur tidak nyenyak kerana menahan bau busuk,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Noraisma Alias, 40, berkata, masalah itu membuatkan anak-anaknya tidak fokus belajar di rumah.
Katanya, lebih teruk anak-anaknya pernah mengalami cirit birit akibat kehadiran lalat yang terlalu banyak di rumah.















