LONDON – Penggempur sensasi Bayern Munich, Harry Kane mengakui tidak berminat untuk kembali ke England dan bersedia untuk mengadakan rundingan kontrak baharu bersama gergasi Bundesliga berkenaan.
Pemain berusia 32 tahun itu meledak 103 gol dalam 106 penampilan bersama Bayern dan membantu pasukan itu menjuarai gelaran Bundesliga untuk musim lalu sekali gus menjadi gelaran pertama dalam kariernya.
Pengendali Tottenham Hotspur, Thomas Frank sebelum ini mengakui sedia membuka pintu untuk menyambut kepulangan pemain itu ke kelab lamanya dan sedia membantu Kane memburu baki 48 gol untuk memintas pencapaian Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan rekod 260 gol.
Bagaimanapun, Kane secara jelas mengakui tidak lagi merindui bola sepak England dan sedia mempertimbangkan peluang untuk terus kekal di Munich bersama Bayern.
“Saya sedang mempertimbangkan peluang untuk kekal lebih lama di Bayern. Saya sudah bercakap secara terbuka sejak beberapa minggu lalu bahawa belum ada sebarang rundingan setakat ini.
“Secara jujur, saya bersedia untuk berbincang. Apa yang jelas ia bergantung kepada apa yang akan berlaku tahun depan, mengenai apa yang kami mampu capai. Buat masa ini Bayern sedang melalui musim yang hebat dan saya tidak mahu memikirkan perkara lain,” katanya.
Kane mengakui bahawa ketika kali pertama meninggalkan London, dia memang memasang hasrat untuk kembali semula beraksi di England, namun perasaan itu semakin berkurang ketika ini.
Mengulas lanjut, penggempur utama skuad The Three Lions itu juga mengakui semakin ghairah untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas menamatkan kemarau trofi musim lalu. – AGENSI