fbpx
Shazeli (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket tersebut. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Gagal buka makmal, rampas RM19.76 juta dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Cubaan satu sindiket pengedaran dadah berjinak-jinak membuka makmal dadah dalam rumah teres dua tingkat terbongkar menerusi serbuan di sekitar Subang Jaya, baru-baru ini.

Kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan bermula pukul 5.50 petang pada 1 Oktober lalu dengan menahan enam suspek termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 56 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil serbuan dan tangkapan itu berjaya merampas keseluruhan dadah hampir 140 kilogram melibatkan syabu, pil dan serbuk ekstasi, heroin dan heroin base bernilai RM19.76 juta.

Katanya, turut dirampas masing-masing adalah 17 botol berisi cecair kimia dan tiga botol serbuk kimia.

“Sindiket ini didapati menyewa dua buah rumah teres dua tingkat di sekitar lokasi Subang Jaya.

“Kita percayai sindiket dalam peringkat awal untuk menjadikan makmal dadah (di salah satu sebuah rumah teres) tetapi kemahiran itu belum ada lagi. Baharu dalam fasa mencuba-cuba dengan satu lagi rumah sebagai penyimpanan dadah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tegasnya, hasil siasatan mendapati seorang daripada keseluruhan suspek ditahan merupakan dalang bagi sindiket ini.

Rata-rata suspek ini ada yang bekerja sebagai pengurus cawangan sebuah syarikat swasta, penjual haiwan peliharaan, jurujual kereta terpakai selain penganggur.

“Pasaran pengedaran dadah ini sekitar Lembah Klang dengan sindiket telah aktif sejak pertengahan tahun ini.

“Lima ahli sindiket ini juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kesemua suspek itu positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut menyita dua buah kereta iaitu Infinity Q50 dan Honda CR-V Black Edition yang dianggarkan RM155,000 serta wang tunai berjumlah RM2,850.

“Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI