fbpx
King Sing melawat reruai pameran pada Forum Komuniti Sosio-Budaya ASEAN ke-34, di Sunway Pyramid Convention Centre, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Malaysia pacu agenda budaya, belia dan iklim di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Malaysia komitmen untuk menerajui usaha merealisasikan matlamat Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34 2025 melalui penganjuran forum peringkat tinggi ASCC yang julung kali diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre, di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebagai Pengerusi Majlis ASCC tahun ini, Malaysia berusaha memastikan bidang keutamaan ASCC sejajar dengan aspirasi ASEAN Community Vision 2045 (ACV 2045) yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

“Selaras dengan tema Pengerusi ASEAN tahun ini iaitu Inclusivity and Sustainability, keutamaan ASCC diklusterkan kepada lima bidang utama iaitu budaya dan warisan, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pekerjaan hijau, kesihatan, potensi belia dan sukan serta tindakan iklim,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ASCC di sini, hari ini.

Menurut beliau, fokus pertama ialah memperkukuh identiti ASEAN melalui peningkatan kesedaran budaya dan warisan, selain memperluas industri kreatif dan melindungi warisan serantau.

“Dalam masa sama, pembangunan kemahiran masa depan turut diberi keutamaan dengan menumpukan kepada AI, pendigitalan dan pekerjaan hijau bagi mempercepatkan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Menurutnya, sektor kesihatan pula menumpukan kepada pemakanan sihat, keselamatan makanan, serta kesiapsiagaan rantau ini menghadapi kecemasan kesihatan awam.

Katanya, Malaysia turut menekankan perpaduan dalam kepelbagaian dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan penyertaan belia dalam aktiviti sukan di peringkat ASEAN, manakala tindakan terhadap perubahan iklim diteruskan melalui usaha penyesuaian dan mitigasi yang selaras dengan Pelan Tindakan Kumpulan Kerja ASEAN mengenai perubahan iklim.

“Forum ini menandakan permulaan baharu dalam perjalanan kolektif dan inklusif kita ke arah merealisasikan keutamaan ASCC, pelan strategik jangka sederhana dan visi jangka panjang ACV 2045. Kita mahu membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpusatkan rakyat,” ujarnya.

King Sing berkata, penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan, swasta, akademia, badan pemikir, rakan dialog, pertubuhan belia, NGO dan CSO dialu-alukan dalam forum kali ini.

Beliau turut menjemput semua delegasi melawat ASEAN Arts and Crafts Bazaar yang berlangsung di ruang legar luar dewan utama, yang menampilkan hasil seni dan kraf terbaik daripada negara-negara anggota ASEAN serta Timor-Leste.

Penganjuran AACB 2025 berlangsung di dua lokasi, iaitu Sunway Pyramid Convention Centre dari 6 hingga 8 Oktober dan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 10 hingga 20 Oktober 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI