PETALING JAYA – Seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Greta Thunberg dibebaskan kelmarin mendedahkan layanan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis yang diterima ramai rakan seperjuangan dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
“Sekarang, kami semua selamat dan telah dibebaskan tetapi masih ramai rakan seperjuangan masih ditahan dengan layanan tidak berperikemanusiaan.
“Namun yang paling penting, ribuan rakyat Palestin sedang ditahan di penjara Israel tanpa perbicaraan, dan ratusan daripada mereka ialah kanak-kanak,” ujarnya.
Menurut Greta, ramai yang hidup terperangkap di bawah sekatan haram penjajahan, terpaksa melalui kebuluran dan pengeboman tanpa henti.
“Infrastruktur asas rakyat Palestin dimusnahkan dan dinafikan hak asasi serta keperluan asas untuk terus hidup termasuk makanan dan perubatan.
“Kekejaman Israel diabaikan sehingga bantuan solidariti turut dihalang daripada memasuki Gaza,” kongsinya.
Beliau menambah, misi GSF yang dihentikan Israel di perairan Gaza menjadi bukti penipuan kesejahteraan dunia dan undang-undang internasional.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lebih 70 orang pelbagai warganegara yang akan meninggalkan Israel hari ini selepas mereka diculik di atas kapal bantuan kemanusiaan GSF ke Gaza minggu lalu.
Pembebasan itu meninggalkan beberapa aktivis yang masih berada dalam tahanan Israel, termasuk 28 warga Sepanyol. -KOSMO! ONLINE