fbpx
FIFA mendapati berlaku percanggahan fakta dalam dokumen diberikan FAM dan dokumen asal kelahiran datuk dan nenek pemain warisan Harimau Malaya. - AFP

FIFA dedahkan asal-usul datuk dan nenek tujuh pemain warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEALING JAYA – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan dokumen asal tidak selari dengan apa yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semasa proses pendafataran tujuh pemain warisan.

Menerusi laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, menjelaskan hukuman yang dikenakan kepada FAM dan pemain adalah mengikut Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan pengubahsuaian dokumen.

Laporan yang sama menjelaskan semakan yang dilakukan terhadap dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar, iaitu tidak dilahirkan di Malaysia.

Dalam muka surat 13 laporan berkenaan FIFA turut menyenaraikan lokasi kelahiran yang sebenar ahli keluarga tujuh pemain berkenaan

Dokumen yang diperoleh FIFA mendapati datuk atau nenek tujuh pemain itu dilahirkan di luar Malaysia iaitu di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol bagi kes babitkan Gabriel Arrocha, Santa Fe de la Cruz, Argentina (Facundo Garces), Buenos Aires, Argentina (Rodrigo Holgado), Roldan, Argentina (Imanol Machuca ), Abre Campo, Brazil (Joao Figueiredo), Viscaya, Sepanyol (Jon Irazabal) dan The Hague, Belanda (Hector Hevel).

Jawatankuasa Disiplin FIFA juga mengesahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menerima sijil kelahiran asal sebaliknya mengeluarkan salinan sendiri berdasaran maklumat sekunder dan dokumen luar negara dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.

Malah JPN juga mengakui yang mereka tidak berjaya mendapatkan rekod asal tulisan tangan, jadi Jawatankuasa Disiplin FIFA berpendapat proses pengesahan daripada Kerajaan Malaysia tidak berdasarkan dokumen asal.

Dalam perkembangan lain, FAM memandang serius beberapa kesimpulan FIFA, khususnya dakwaan bahawa para pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA.

Sebelum ini FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 Franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda 2,000 Franc Swiss (RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI