HARI ini 7 Oktober, genap dua tahun serangan Hamas ke atas Israel. Serangan yang dinamakan sebagai ‘Operation al-Aqsa Flood’ itu ternyata cukup memalukan rejim Zionis yang selama ini dilengkapi dengan seribu satu teknologi pertahanan canggih.
Ia sekali gus menjadi satu dendam kesumat kepada rejim Zionis terhadap Hamas yang selama ini diperkecilkan serta menerima tekanan daripada segenap segi.
Umum hanya mengetahui asbab serangan balas Israel terhadap Hamas dan Gaza tetapi tidak ramai yang cuba menyelami mengapa pertubuhan yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin pada 1987 itu melakukan serangan ke atas rejim Zionis.
Antara punca ialah Hamas mahu menunjukkan kepada dunia betapa rejim Zionis semakin sangat melampaui batas. Pasukan keselamatan Israel selama berpuluh-puluh tahun melakukan kekejaman, manakala pelampau Yahudi mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa tanpa sebarang tindak balas berkesan.
Bagi Hamas, tindakan itu merupakan penghinaan terhadap tempat suci ketiga paling penting umat Islam yang sudah melepas garis merah kesabaran. Dunia dan negara Islam hanya berdiam diri, jadi Hamas terpaksa bertindak.
Tarikh 7 Oktober 2023 pula hampir bertepatan dengan ulang tahun ke-50 Perang Yom Kippur 1973 iaitu tarikh Mesir dan Syria melancarkan serangan mengejut terhadap Israel sekali gus sebagai simbolik untuk mengulang kembali strategi kejutan ketenteraan terhadap Israel.
Banyak lagi faktor yang menyebabkan Hamas terpaksa mengatur langkah drastik, bukan untuk mengejutkan Israel semata-mata tetapi juga mengejutkan dunia.
Hari ini, selepas dua tahun Israel melancarkan beribu-ribu operasi ketenteraan berskala besar terhadap wilayah Gaza yang cuma seluas 365 kilometer persegi itu.
Serangan agresif dengan melancarkan bom melalui udara tanpa henti, diikuti operasi darat, pengepungan, pengusiran serta meranapkan segala infrastruktur bekalan air, elektrik, telekomunikasi, institusi pendidikan dan hospital.
Namun selepas dua tahun, Israel sebenarnya berdepan malu besar kerana masih gagal menghapuskan Hamas dan Briged al-Qassam meskipun membelanjakan lebih AS$67 bilion (RM280 bilion) persenjataan bagi kos serangan.
Malah kejahatan Israel terserlah apabila kegagalan memalukan itu dilampiaskan kepada pembunuhan ke atas rakyat awam, kanak-kanak dan wanita Gaza tidak berdosa yang kini mencecah lebih 65,000 orang dan mencederakan lebih 166,000 orang.
Selepas dua tahun juga, termasuk ledakan berita hasil kempen pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla, rakyat dunia telah membuka mata betapa kesombongan dan kejahatan Israel perlu dihentikan. Zionis dan rakyat Israel semakin dibenci dan dipencilkan.
Rakyat Gaza pula tetap kukuh dengan semangat juang dan harapan: “Kami tidak akan tinggalkan tanah ini, kerana inilah tanah kami, warisan kami.”














