SUNGAI GOLOK, THAILAND – Seramai 10 lelaki bersenjatakan raifal jenis M16 dan AK104 melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli belah di pasar raya berkenaan.
Menurut jurucakap polis, kumpulan perompak itu masuk ke kawasan tempat letak kenderaan di pasar raya dengan menaiki dua buah trak pikap.
“Lapan daripada suspek berpakaian hitam dan bertopeng telah memasuki pasar raya berkenaan melalui pintu dua sebelum terus menuju ke kedai emas berkenaan.
“Kumpulan perompak itu kemudian menahan pengawal keselamatan dan mengugut pekerja kedai emas. Beberapa suspek bertindak memecahkan cermin dan kotak pameran sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM3.11 juta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, kumpulan terbabit turut menabur paku dan meletakkan tong gas seberat 15 kilogram yang dipercayai dipasang bom di laluan mereka melarikan diri.
Katanya, salah seorang daripada penjenayah terbabit yang bersenjatakan M16 bertindak menembak anggota tentera berpangkat sarjan mejar yang berada berhampiran kedai emas berkenaan.
“Tembakan itu telah mengenai anggota tentera sehingga cedera pada paha, bahu dan pipi. Anggota keselamatan itu telah dikejarkan ke Hospital Sungai Golok dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Thailand telah menutup beberapa laluan utama di Sungai Golok bagi memburu penjenayah terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata, tiada orang awam yang cedera dalam kejadian itu kecuali seorang pengawal keselamatan yang trauma selepas dijadikan tebusan. – KOSMO! ONLINE