ARIF diberi penghormatan tertinggi dilantik sebagai Pemerintah Baris bagi Perbarisan Tamat Latihan Kor Kor Suksis Universiti Awam Kali Ke-21 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini.

Arif pelatih terbaik Kor Suksis beri inspirasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERPILIH sebagai Pegawai Pemerintah Baris bagi Perbarisan Tamat Latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) Universiti Awam Kali Ke-21 2025 baru-baru ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan detik bersejarah bagi Muhammad Arif Hilmi Hisyamuddin.

Penghormatan yang diberikan amat bermakna bagi jejaka berusia 22 tahun ini kerana dia menggalas tanggungjawab besar untuk memimpin perbarisan yang melibatkan Kor Suksis daripada 19 universiti awam dengan jumlah anggota 942 orang.

Justeru, tidak hairanlah ia menjadi momen yang cukup manis bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu atas kepercayaan yang diberikan.

Menurut Muhammad Arif Hilmi atau lebih mesra di sapa Arif, untuk dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Baris bukanlah perkara yang mudah dan perlu melalui beberapa siri saringan penilaian.

“Untuk bergelar sebagai Pegawai Pemerintah Baris, syarat utama adalah perlu memegang jawatan sebagai Pegawai Pedang. Oleh itu, setiap universiti awam perlu menghantar wakil bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut.

“Mereka yang berjaya dilantik sebagai Pegawai Pedang pula akan pergi ke tapisan seterusnya. Daripada 23 orang yang terpilih, hanya seorang sahaja akan diangkat sebagai Pegawai Pemerintah Baris.

“Syukur saya telah melepasi semua saringan dan ujian yang ditetapkan. Ini semua berkat doa ibu bapa dan juga tunjuk ajar daripada jurulatih,” katanya yang turut dinobatkan Pelatih Terbaik Keseluruhan Universiti Awam pada acara tersebut.

Arif yang juga merupakan Presiden Kor Suksis UIAM berkata, ketika perbarisan tersebut dia bertanggungjawab mengetuai perbarisan dan melaporkan kekuatan anggora kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.

ARIF bergambar kenangan bersama pelajar sekolah ketika mengikuti program kesukarelawanan di Indonesia pada September tahun lalu.

“Saya berpeluang menaiki kereta istiadat bersama Ketua Polis Negara, perasaan pada masa itu sangat gembira dan bangga kerana dapat membawa nama UIAM ke peringkat tertinggi.

“Ini adalah buah daripada hasil kerja keras saya dalam Kor Suksis dan Kor Kadet Polis yang telah disertai sejak tingkatan satu. Ia membentuk saya menjadi manusia yang berdisiplin, mengajar kemahiran menjaga masa serta menjadi pemimpin berwibawa,” tuturnya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Bukan sahaja bergiat aktif dalam Kor Suksis, jejaka berketinggian 174 sentimeter ini juga berbakat besar dalam seni persembahan teater dan pengacaraan.

Bercerita lanjut, Arif berkata, kedua-dua itu berlaku tanpa sengaja. Bagi persembahan teater, dia bersama seorang kawan sekadar mahu mencari aktiviti di universiti dan mendaftarkan diri untuk mencuba perkara baharu.

“Kebetulan pada ketika ada produksi sedang membuat pementasan teater di UIAM. Saya bersama kawan masuk teater sebagai kru dan prop kru pada awalnya. Selepas itu, kami dipanggil untuk membantu watak sebagai orang kampung.

“Siapa sangka, pengarah melihat bakat kami sebagai pelakon dan sejak itu saya aktif dalam pementasan teater,” tutur anak sulung daripada empat beradik itu.

Bagi bidang pengacaraan pula, Arif memberitahu, pada awalnya dia sekadar mahu membantu majlis perkahwinan sepupu pada 2023 dan sejak itu jemputan pengacaraan tidak pernah putus sehingga dijadikan sebagai kerja sambilan.

“Saya mendapat jemputan sebagai pengacara majlis perkahwinan daripada ahli keluarga dan juga menerusi akaun TikTok @emcee.arifhilmi dan Instagram @4rifhlmx_.

“Untuk memperkemas kemahiran pengacaraan, saya turut menyertai kelas dan juga mendapat tunjuk ajar daripada ayah,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Tidak terhenti di situ, Arif turut memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Teknikal IIUM TV dan juga aktif dalam kesukarelawanan.

Bakat, kepimpinan dan ketokohannya menjadi inspirasi kepada para pelajar.

Baru-baru ini Arif turut dijemput untuk memberi ucapan di hadapan 5,000 pelajar pada Minggu Orientasi Pelajar Baharu UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN