KAJANG – Seorang lagi mangsa kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang minggu lalu disahkan meninggal dunia pagi tadi, menjadikan jumlah kematian dalam insiden berkenaan meningkat kepada dua orang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga penjawat awam, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang pada pukul 11 pagi tadi.
“Dukacita dimaklumkan seorang lagi mangsa kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang telah disahkan meninggal dunia.
“Jasad mangsa akan diserahkan kepada keluarga apabila proses bedah siasat dijalankan. Ini menjadikan dua mangsa maut dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ditanya sama ada kertas siasatan sudah lengkap, beliau berkata, pihaknya ketika ini menunggu laporan penuh daripada agensi berkaitan.
Media sebelum ini melaporkan kemalangan tersebut berlaku pada 27 September lalu apabila sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) di plaza tol berkenaan.
Dalam kejadian itu, seorang bayi lelaki berusia setahun maut di lokasi, manakala tujuh individu lain cedera.
Sementara itu, tempoh reman pemandu lori berusia 42 tahun yang ditahan sebelum ini telah tamat pada Rabu lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE