SELAIN terkenal dengan kesenian batik dan kelazatan keropok lekor, Kelantan juga memiliki banyak tempat menarik serta unik untuk dilawati.
Bagi yang ingin berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pelbagai juadah tempatan di Pasar Terapung Pulau Suri.
Terletak di daerah Tumpat, Pasar Terapung Pulau Suri menjadi ikon pelancongan baharu Kelantan kerana menawarkan pengalaman membeli pelbagai juadah dan barangan terus dari atas bot.
Suasana begitu tentu sahaja memberikan nuansa berbeza kepada pengunjung, bahkan menghidupkan kembali amalan masyarakat setempat yang menjalankan perniagaan jual beli di atas air.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pasar Terapung Pulau Suri, Ghani Dollah, pasar tersebut menjadi daya tarikan utama kerana perjalanan ke Pulau Suri boleh diakses dengan menaiki bot.
“Laluan menuju ke sini boleh diambil dari beberapa jeti seperti Jeti Kuala Besar (Kota Bharu), Jeti Kok Majid (Tumpat) dan Jeti Komuniti (Kota Bharu).
“Pengunjung boleh menikmati nasi kerabu, aneka mi celup serta pelbagai makanan berasaskan celup tepung seperti udang, sotong dan ketam.
“Selain itu, kuih-muih kampung, kraf tangan tempatan dan pakaian bercop ‘Floating Market Pulau Suri’ turut dijual sebagai cenderahati untuk dibawa pulang,” katanya kepada CitaRasa.

Pengalaman menaiki bot juga cukup istimewa sementelah konsep pasar terapung jarang ada di Malaysia.
Pasar itu beroperasi setiap Jumaat dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, dengan tiket masuk serendah RM2 bagi dewasa, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun adalah percuma.
Selain jualan hidangan, pengunjung boleh melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti tambahan yang menghidupkan suasana pasar seperti sukaneka tarik tali, boling kelapa, terbalikkan botol dan kukur kelapa.
Menariknya, aktiviti tersebut boleh disertai secara percuma untuk pelawat, di samping persembahan seni budaya tradisional seperti dikir barat dan silat.
“Persembahan itu diadakan sekali-sekala untuk memberi peluang kepada pelawat mengenali seni budaya Kelantan secara lebih dekat.
“Pasar Terapung Pulau Suri bukan sekadar tempat membeli-belah, sebaliknya berperanan melestarikan budaya serta warisan masyarakat tempatan.
“Pasar ini membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali amalan lama seperti berniaga di dalam bot, menghasilkan kraf tangan serta menikmati hidangan tradisional.
“Pada masa sama, pasar ini membantu memperkukuhkan identiti budaya setempat supaya warisan nenek moyang tidak hilang ditelan zaman,” ujar Ghani.
Bagi yang merancang untuk ke pasar terapung itu, waktu paling sesuai adalah pada awal pagi bagi mengelakkan terik mentari.
Ini membolehkan pelanggan melawat dan berjalan dengan selesa sambil menikmati keindahan suasana kampung di tepi sungai.
Dengan keunikan pengalaman membeli-belah di atas bot, kelazatan makanan tradisional dan aktiviti budaya, Pasar Terapung Pulau Suri sememangnya layak untuk menjadi destinasi yang wajib dikunjungi di Kelantan.














