KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) enggan menghantar wakil bagi menerima memorandum bantahan berkaitan penahanan aktivis Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Gaza, di atas alasan faktor keselamatan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, beliau sendiri telah menghubungi pihak kedutaan untuk menyampaikan memorandum tersebut, namun ditolak pada saat akhir.
“Tadi kita dah serahkan memorandum tersebut dan saya telah berhubung dengan wakil Kedutaan Amerika Syarikat lebih awal.
“Tapi di atas alasan keselamatan, pihak kedutaan enggan hantar wakil,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini hari ini.
Muhammad Kamil berkata, memorandum itu menuntut tiga perkara iaitu pembebasan segera semua sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) tanpa tanpa ada sebarang kecederaan ataupun tindakan.
Selain itu, katanya, Amerika Syarikat digesa menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya membenarkan kapal GSF yang membawa makanan, perubatan dan bantuan untuk sampai ke perairan Gaza.
“Kita juga ingin menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memastikan Benjamin Netanyahu tidak menggangu proses pendamaian yang sedang dilakukan.
“Ini termasuk kenyataan berkenaan reconstruction of Gaza (pembangunan semula Gaza) dirombak dan diteliti semula mengambil kira aspirasi dan juga kehendak rakyat di Gaza dan negara Palestin.
“Pihak luar tidak wajar menentukan masa depan serta nasib dan hala tujuh bagi warga di Gaza,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE