BANGKOK – Sepasang suami istri warga Myanmar selamat selepas terjatuh dari laluan bertingkat di sebatang jalan setinggi 10 meter akibat terbabas, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian berlaku semalam di laluan bertingkat Bo Yang menghala ke wilayah Chon Buri.
Sejurus menerima laporan, pasukan kecemasan tiba untuk menyelamatkan mangsa.
Mereka menemukan pasangan itu terbaring di atas rumput berselut di tepi jalan dalam keadaan selamat meskipun mengalami kecederaan.
Penunggang motosikal, Zaw Pola Phaye, 33, hanya mengalami kecederaan ringan.
Isterinya, Nan Wey, 42, bagaimanapun berada dalam keadaan lebih serius dan disyaki patah lengan serta mengalami kecederaan tulang belakang. Dia segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Menurut Zaw, kemalangan berlaku apabila dia tersilap menaiki jalan bertingkat ketika menunggang motosikal ke tempat kerja bersama isterinya.
Tidak biasa dengan lengkungan jalan tersebut, dia menghampiri selekoh dengan laju kerana menyangka ia adalah jalan lurus.
Kata Zaw, ia membuatkan mereka merempuh penghadang dan tercampak ke bawah. – AGENSI