PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri memaklumkan status sebenar kapal Mikeno yang dinaiki selebriti, Ardell Aryana bersama beberapa lagi sukarelawan dari negara lain dalam konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih lagi belum diperolehi.
Nadir dalam satu hantaran di Facebook berkata, menurut sistem Automatic Identification System (AIS), kapal tersebut kelihatan berada dalam kawasan perairan Gaza, bagaimanapun perjalanannya tidak menepati pergerakan biasa kapal layar.
“Maklumat paling sahih berkenaan Mikeno ialah CC GSF tak dapat memastikan situasi akhirnya.
“Bot berada di lokasi tetapi tak dapat dipastikan sama ada peserta masih berada di dalamnya,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
Nadir berkata, penduduk di Gaza juga tidak dapat melihat bot tersebut dari kawasan pantai.
“Apa pun, tak perlu bimbang kerana insya-Allah mereka semua selamat. Kapal ini dinaiki peserta dari negara Brazil, Turkiye, Netherland, Norway, Amerika Syarikat, Spain dan Malaysia (Ardell),
“Kalau bot ni betul dapat cecah pantai Gaza, saya isytiharkan Ardell sebagai wali Gaza baru dekad ini!,” katanya. – KOSMO! ONLINE