fbpx
MOHAMED KHALED (tengah) melakukan gimik pada Program ProJEK di Dewan V Tech Kolej Vokasional Kota Tinggi hari ini.-Foto MASTURAH SURADI

Sumud Flotilla: Penahanan peserta perlu ditangani secara diplomatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Penahanan rakyat Malaysia bersama peserta Global Sumud Flotilla (GSF) oleh pihak Israel dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza hari ini perlu ditangani secara diplomatik tanpa memerlukan tindakan ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap rakyat mendoakan keselamatan mereka terlibat dan memberikan sokongan penuh kepada usaha yang sedang dilakukan kerajaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui saluran diplomatik telah menghubungi negara sahabat untuk membantu bagi memastikan keselamatan mereka terlibat serta agar keadaan tidak menjadi lebih parah.

“Kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita kena guna saluran-saluran lain dan saya percaya ini bukan memerlukan tindakan tentera.

“Kita kena guna saluran diplomatik. Bentuknya kalau kita guna saluran tentera, bagaimana nyawa mereka yang ditahan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Program Jalinan Eduksi Komuniti (ProJEK) Peringkat Daerah Kota Tinggi di Dewan V Tech Kolej Vokasional Kota Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat ini.

Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, rakyat juga diharap tidak mensensasikan keadaan itu dan jangan membuat sesuatu yang pada akhirnya negara kehilangan saluran diplomatik.

Beliau memberi contoh warganegara Thailand yang pernah ditahan Israel, dua tahun lalu yang mendapat bantuan melalui saluran diplomatik.

“Apabila tawanan-tawanan di Israel, antara yang ditangkap ialah daripada Thailand, mereka guna saluran diplomatik minta tolong dengan kita untuk hubungi Palestin, untuk hubungi Mesir. Kita lakukan begitu.

“Atas sebab itulah mesti ada pertemuan bila mereka panggil mesyuarat kita jumpa sebab kita nak ada hubungan. Ada keyakinan kita berkawan. Dia tahu ini kawan sahabat sejati.

“Jadi kalau ada apa-apa berlaku kita telefon kawan, bantu. Itulah dia diplomasi. Perdana Menteri dah cakap contact Turki, Mesir, Qatar jadi tengoklah ada perkara yang dia boleh beritahu, ada yang tidak boleh beritahu,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI