SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah yang disorok dalam bungkusan sabun pencuci menerusi siri operasi dijalankan sepanjang Ogos hingga September lalu.
Dalam tempoh sama pihak kastam turut membuat rampasan melibatkan basikal elektrik yang tidak mempunyai permit serta rokok putih yang tidak bercukai.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, serbuan pada 18 September di sebuah gudang Free Commercial Zone (FCZ) KLIA menemukan bungkusan mencurigakan yang disyaki mengandungi dadah.
“Hasil pemeriksaan mendapati ia berisi kristal disyaki syabu seberat kasar 1,368.2 gram dengan nilai lebih RM68,000.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, taktik menyembunyikan syabu dalam sabun pencuci merupakan salah satu modus operandi sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, pihaknya turut menyita 33 unit basikal elektrik (e-bike) tanpa permit dalam serbuan pada 14 Ogos di sebuah premis perniagaan selepas menerima aduan awam.
“Pemeriksaan mendapati tiada dokumen import dan kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ditemui. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya berjaya menemukan 464,000 batang rokok putih pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam di gudang sama pada 8 Ogos lalu.
“Rampasan itu dilakukan melalui dua Airway Bill berbeza dengan nilai termasuk cukai mencecah RM357,280.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan duti bagi e-bike, rokok serta dadah tersebut dianggarkan mencecah RM482,499.16.
“Siri rampasan itu membuktikan pihak kastam konsisten memperketat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan rakyat.
“Orang ramai diminta agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat JKDM terdekat.
“Identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan kerjasama orang awam amat penting dalam membantu usaha kami membanteras kegiatan ini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE