TEL AVIV – Tentera Israel memintas 13 buah kapal Global Sumud Flotila(GSF) yang belayar menuju Gaza dan menahan kira-kira 200 aktivis kesemuanya, termasuk ramai peserta dari Sepanyol serta Itali.
Perkara itu dinyatakan jurucakap GSF Saif Abukeshek. Bagaimanapun, dalam kenyataan video yang disiarkan di laman Instagram beliau memberitahu bahawa, misi GSF ke Gaza masih diteruskan.
“Mereka bertekad. Mereka bermotivasi, dan mereka melakukan segala yang terdaya untuk memecahkan kepungan Israel pada awal pagi ini,” katanya.
Israel memintas kapal-kapal GSF kira-kira pukul 8.30 malam semalam di perairan antarabangsa.
Global Sumud Flotila (GSF) yang disertai kira-kira 45 kapal membawa ahli politik dan aktivis termasuk pempengaruh iklim Sweden, Greta Thunberg belayar dari Sepanyol bulan lalu.
“30 kapal masih berlayar menuju ke Gaza, hanya 85 kilometer jauhnya, walaupun pencerobohan berterusan daripada tentera laut Israel,” kata GSF dalam satu kenyataan pukul 3.20 pagi (waktu tempatan) atau bersamaan 8.20 pagi waktu Malaysia. – AFP