PETALING JAYA – Misi mendebarkan seluruh rakyat Malaysia, penyanyi dan aktivis Hazwani Helmi memaklumkan delegasi misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla sudah memasuki zon merah sebentar tadi.
Menurut Hazwani, 28, memasuki zon merah bermakna kesemua 45 yang berlayar ke Gaza, Palestin untuk misi kemanusiaan kini berada dalam situasi paling kritikal sejak memulakan misi awal bulan lalu.
“Saya Hazwani, sekadar laporan ringkas, tadi ketua kami mengatakan tinggal 98 batu nautika lagi untuk tiba ke Gaza.
“Itu juga bermaksud kami sudah memasuki kawasan zon merah. Kami juga telah diterangkan tentang kemungkinan malam ini,” katanya dalam platform Threads hari ini.
Tambah adik kepada penyanyi Heliza Helmi itu, segala persiapan sudah dilakukan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku di perairan zon merah.
“Ini adalah persiapan yang sangat-sangat kritikal. Kemungkinan akan berlaku pintasan.
“Tapi kita minta doa daripada Allah, tidak ada yang mustahil, mungkin kita dapat sampai ke Gaza dengan aman,” katanya.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan seramai 23 daripada 34 peserta konvoi GSF dari Malaysia akan meneruskan pelayaran ke Gaza, manakala 11 lagi tidak dapat berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.
Hari ini turut tular video kapal aktivis GSF diganggu kapal tentera Israel dan sistem komunikasi turut rosak.
Sepanjang pelayaran yang bermula pada awal bulan lalu, mereka ditakutkan dengan kehadiran dron dipercayai milik tentera Israel.
Delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai beberapa selebriti tanah air lain termasuk pelakon, Ardell Aryana, penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi dan pempengaruh, Farah Lee. – KOSMO! ONLINE