PETALING JAYA – “Insya-Allah kami sampai di Gaza, perkara pertama sebaik sampai ke darat, kami akan sujud syukur di pantai Gaza, di tanah Gaza.”
Itulah luahan peserta Global Sumud Flotilla (GAF) yang juga Perunding Media AlKhair Malaysia, Razali Awang menerusi perkongsian video hari ini.
Menurutnya, sujud syukur di tanah Gaza menjadi simbol pengorbanan dan doa yang tertunai selepas berbulan-bulan pelayaran menempuh pelbagai cabaran.
“Kedua, saya akan memeluk seramai mungkin waris syuhada di Gaza dan ketiga kami akan mengagih makanan,” katanya.
Razali turut berkongsi pengalamannya pernah menjejakkan kaki ke Gaza sebelum ini, dengan jelas mengingati pelabuhan dan beberapa lokasi penting termasuk Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Quds.
“Saya tak boleh bayangkan kalau saya sampai ke Gaza kawan-kawan baik saya dah tak ada. Tapi tak apa insya-Allag saya akan cari keluarga mereka. Kalaulah Allah beri peluang sampai ke sana insya-Allah dengan doa anda semua kamu akan dapat menjejak kaki.
“Sebab ramai sedang menunggu kalau tengok setiap hari kan ada sahaja posting (hantaran) yang menunggu kehadiran kami dan dia faham kami tak boleh sampai sekelip mata, tapi dalam keadaan macam itu pun mereka terus menunggu sebab 30 hari dah berlayar dengan bermacam-macam halangan dan duka,” kongsinya.
Beliau turut menjelaskan makna di sebalik nama flotilla itu, iaitu ‘Sumud’ yang membawa erti keteguhan dan ketabahan rakyat Palestin.
“Orang Gaza ni Allah Allah bagi kepada mereka tahap kesabaran yang paling tinggi, kita tak mampu. Sebab itulah kita namakan ‘Sumud’ yang diambil daripada semangat orang Gaza, semangat orang Palestin tak berhenti-henti berjuang kental,” jelasnya.
Terdahulu, Sumud Nusantara Official dilaporkan berkata, semua kapal GSF kini berada dalam keadaan penuh berjaga-jaga selepas menerima laporan peningkatan aktiviti dron di ruang udara misi.
Katanya, situasi itu menandakan cabaran yang semakin getir sedang dihadapi peserta misi kemanusiaan GSF.
“Kapal flotila memasuki zon berisiko tinggi iaitu kawasan di mana flotila terdahulu pernah diserang atau dipintas.
“Beberapa laporan awal juga mengesahkan wujudnya kemungkinan senario yang berbeza bakal berlaku dalam tempoh beberapa jam akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE