PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui diasak hebat FC Machida Zelvia hingga menyekat hasrat mereka meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) apabila seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, corak permainan fizikal dan hantaran jauh yang dipamerkan skuad kendalian Go Kuroda menyebabkan Harimau Selatan tidak dapat beraksi seperti kebiasaan.
Katanya, walaupun berdepan tekanan hebat, JDT tetap mampu mempamer aksi berkualiti dan bertahan dengan baik hingga mengekang pelawat daripada mencipta jaringan.
“Kesemua pemain beraksi baik dan momentum ini perlu terus dikekalkan. Walaupun seri, kita juga berada di landasan tepat dan perlu belajar serta perbaiki apa yang perlu bagi memberikan aksi yang lebih baik.
“Bagaimanapun, kita berdepan lawan yang sukar dan kami perlu terus mengekalkan intensiti untuk terus melakar kemenangan pada masa hadapan,” katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan tiga tonggak pemain iaitu Jon Irazabal, Hector Havel dan Joao Figueiredo yang digantung perlawanan, Munoz berkata, situasi itu memberikan peluang untuk menurunkan pemain-pemain sedia ada yang lain.
“JDT mempunyai skuad yang besar, kesemua merupakan pemain penting untuk pasukan, kita juga percaya dengan kemampuan pemain-pemain lain.
“Lihat pada perlawanan ini, mereka telah menunjukkan mentaliti dan kualiti yang baik dengan memberikan aksi 100 peratus,” ujarnya.
Mengulas mengenai sepakan penalti, Munoz berkata, dia tidak mempertikaikan keputusan pengadil yang hampir menyebabkan mereka tewas pada perlawanan itu.
“Apabila berdepan pasukan yang hebat, kawalan emosi itu sangat penting bagi memastikan pemain tidak bertindak di luar kawalan. Inilah antara perkara yang perlu kita perbaiki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE