PERBANDINGAN antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dijangka akan terus wujud apabila kedua-dua wakil negara itu turun pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab Asean (ACC) 2025/26, malam esok.
Di pentas lebih tinggi, Harimau Selatan sudah boleh dianggap ‘pemenang’ hasil kejayaan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Elit (ACLE) manakala Selangor tidak mampu ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara 2 (ACL 2).
Bagi pertandingan peringkat serantau Asia Tenggara kali ini, dua wakil negara itu menyinar di peringkat awal dan akan turun ke gelanggang sendiri, di mana JDT akan melayan kunjungan seteru, Buriram United manakala The Red Giants melawan kelab Vietnam, Nam Dinh FC.
Ketika The Red Giants membawa harapan untuk mengharumkan nama Malaysia, lensa pasti lebih terarah kepada pertembungan JDT dan Buriram United memandangkan kedua-dua kelab itu dilabel sebagai dua pasukan terbaik rantau Asia Tenggara.
Pengendali JDT, Xisco Munoz menganggap dirinya sebagai individu paling bertuah kerana dikelilingi orang hebat yang sentiasa mahukan sesuatu yang lebih baik.
“Bukan hanya tentang tenaga pada kaki dan mentaliti tetapi setiap hari kami cuba untuk berikan yang terbaik. Adalah sesuatu yang hebat untuk melihat bagaimana cita-cita semua orang (dalam pasukan) di mana setiap hari kami terus tingkatkan kemampuan dan cuba memecahkan rekod.
“Tiada alasan, kami kena mula fikir tentang bagaimana untuk memastikan pemulihan pemain kerana kami ada perlawanan penting. Sekarang kami kena bekerja keras untuk berikan yang terbaik,” katanya.
Perlawanan timbal balik separuh akhir dijadualkan berlangsung 13 Mei ini di mana Selangor akan berkunjung ke Stadium Thien Truong manakala JDT bakal beraksi di Stadium Buriram.














