fbpx
Hanya ikan baung dan haruan yang kami dapat di dalam sungai.

Bergasak ketika air Empangan Temenggor rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Umum mengetahui bahawa musim hujan atau monsun merupakan waktu yang paling padu untuk mengilat di mana-mana tasik atau empangan di negara kita. Namun, ada satu waktu istimewa yang sering terlepas pandang oleh geng-geng pengilat iaitu ketika paras air tasik atau empangan rendah.

Empangan Temenggor ini paras airnya tidaklah berubah dengan ketara berdasarkan musim panas atau hujan kerana dikawal secara sistematik di pintu air empangan.

Bermakna air akan dilepaskan secara berkala untuk menghadapi musim hujan berpanjangan bagi mengelakkan air melepasi takat maksimum di empangan.

Ketika musim panas pula, pintu empangan jarang dibuka bagi menahan dan menyimpan air untuk menghadapi musim kemarau.

Jadi bagaimana jika ingin tahu keadaan paras air semasa di sini?

Caranya mudah sahaja, berbuat baiklah dengan tekong-tekong bot di sana dan sentiasalah bertanya khabar.

Jika kena musim yang cantik, pasti mereka akan memberitahu awal, maka bersiap sedialah untuk melangsungkan trip ‘tidak menang tangan’ anda.

Ketika trip kami tempoh hari, pihak berwajib di empangan sudah mula melepaskan air untuk persediaan musim monsun yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, paras air tasik ketika kedatangan kami menjadi sangat rendah.

Mengikut kata tekong, air telah mula dilepaskan sejak awal September lagi.

Strategi memburu sebarau

Mengilat ikan sebarau ketika paras air rendah ini tidak sama seperti sewaktu paras air tinggi.

Ketika itu, kebiasaannya pemancing akan terus masuk ke dalam sungai atau menuju ke kawasan berteluk yang wujud air terjun kecil.

Namun ketika trip kami ini, semua sungai yang menyalurkan airnya ke dalam empangan telah hampir kering.

Pada hari pertama trip, kami tetap mencuba mengilat di dalam sungai, namun hampir separuh hari tiada seekor sebarau pun mengena, hanya haruan dan baung yang menyambar gewang-gewang kami.

Tukar strategi

Oleh itu, ketika makan tengah hari kami berbincang dengan tekong untuk mencuba lokasi-lokasi selain daripada sungai.

Tekong Yo menyarankan kami mencuba lokasi pokok-pokok balak mati yang terdapat di tengah air.

Ia merupakan kawasan puncak bukit yang tenggelam ketika paras air tinggi dan sewaktu paras air rendah maksimum ini, ia menjadi lokasi terbaik sebarau bersembunyi sebelum menyergap ikan-ikan kecil menghampiri kubunya.

Double strike ikan sebarau, kedua-dua ekor kena dengan gewang blade spinner tail.

Berkemungkinan juga kumpulan sebarau ini berkumpul di reba-reba kayu sementara menunggu air sungai naik untuk kembali semula ke sungai.

Tambah Yo, cara terbaik untuk memujuk kumpulan sebarau ini adalah dengan mengoreknya menggunakan gewang jenis tenggelam.

Selepas makan tengah hari, kami terus mencari kawasan yang dimaksudkan, dan benar seperti apa
disarankan oleh tekong apabila gewang kami digasak bertubi-tubi oleh kumpulan sebarau yang berkampung di sana.

Kami ingatkan hanya kawasan tersebut yang dihuni kumpulan sebarau, sebaliknya rata-rata kawasan berpokok balak mati di tengah empangan ada penghuninya.

Bukan ikan sebarau sahaja yang ada di batang balak tenggelam, malah ikan baung dan toman juga berada di perimeter sama.

Gewang jenis tenggelam

Gewang paling menjadi ketika kerja-kerja ‘mengorek’ sebarau di tunggul pokok balak mati ini me­rupakan jenis tenggelam yang berat, supaya cepat ia sampai ke pangkal pokok di dasar.

Berat gewang dari 20 ke 30 gram (g) paling efektif digunakan terutamanya jenis sesudu (spoon), bilah besi (blade) atau bilah besi ekor berputar (blade spinner tail) seperti Blade Rentaka Bodobodo.

Teknik

Cara menggayakannya mudah sahaja, gewang dilontar rapat ke batang balak, kemudian dibiarkan tenggelam terus ke dasar.

Selepas itu, ia akan dikarau perlahan-lahan supaya sentiasa berada di strike zone.

Cara kedua pula digelar teknik ‘helikopter’ dan ia terbaik dimainkan dengan gewang blade spinner tail.

Gewang dibaling tepat ke batang balak mati, kemudian lepaskan tali agar gewang jatuh selari dengan tunggul balak itu.

Sebarau yang berada di sekitar biasanya akan menyambar gewang semasa ia sedang tenggelam ke dasar.

Spinner berkilat yang berputar seperti kipas helikopter ketika tenggelam bakal menggoda nafsu amarah si sebarau.

Berfikir seperti ikan

Trip ketika air rendah ini telah mengajar kami agar menjadi pengilat yang lebih kreatif dan berfikir seperti ikan. Sekiranya kami masih berkeras mengilat di dalam sungai ataupun kawasan berteluk, pasti kami akan pulang dengan kecewa.

Berbeza cuaca atau paras air, maka berbezalah lokasi ikan pemangsa yang berpotensi.

Ketika paras air tinggi sememangnya kumpulan sebarau banyak bermain di dalam sungai, tetapi ketika air paras rendah, lokasi tersebut menjadi seumpama padang pasir.

Ketika itulah anda sebagai pengilat perlu bijak mencari di mana ikan berkumpul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN