BANGKOK – Seorang warga emas maut selepas dipijak seekor gajah liar semasa mangsa cuba memeriksa tanaman di kebunnya di tengah Thailand, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di wilayah Prachinburi pada 25 September lalu.
Noi Songkroh, 79, dilaporkan keluar pada waktu malam sambil membawa lampu suluh sebelum melihat haiwan itu sedang makan pokok pisang berhampiran rumahnya.
Pancaran cahaya daripada lampu suluh menyebabkan gajah itu mengamuk lalu menyerang Noi.
Pegawai hidupan liar bergegas ke tempat kejadian dan mendapati badan Noi hancur akibat hentakan dan berat haiwan itu.
“Kesan tapak kaki gajah ditemukan beberapa meter dari lokasi kejadian,” kata pegawai tersebut.
Seorang penduduk, Somkid Koson berkata, dia dimaklumkan mengenai kehadiran gajah itu selepas mendengar bunyi anjing menyalak tanpa henti.
“Saya mendengar anjing menyalak, jadi saya keluar untuk memeriksa. Saya melihat Noi berdiri di hadapan rumah sebelum seekor gajah tiba-tiba menyerangnya,” katanya. – AGENSI