fbpx
PENGGUNA perlu bijak menilai setiap maklumat sama ada palsu atau benar bagi mengelakkan fitnah berleluasa. – GAMBAR HIASAN

Fitnah lebih kejam daripada Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERSAMA Profesor Datuk Dr. Ahmad Ibrahim

DUNIA sekarang berada dalam era digital. Tanpa digital banyak kerja mungkin lumpuh. Penggunaan internet telah merebak merata dunia, satu era yang bukan sahaja mendatangkan manfaat bagi manusia, tetapi juga berisiko tinggi.

Antara risiko utama era digital berkait rapat dengan sekuriti ­siber. Sudah banyak kes-kes terjadi di mana seluruh sistem digital syarikat dilumpuhkan.

Di samping serangan memporak-perandakan sistem data organisasi, talian digital juga digunakan oleh penjenayah scam mencari mangsa. Ramai warga pencen telah kehilangan wang ekoran ditipu.

Tatkala dunia sibuk meme­rangi wabak Covid-19 sejak 2020, ada satu lagi wabak yang tidak kurang bahayanya sedang menular dalam diam iaitu wabak fitnah di media sosial.

Ramai pakar sosial dan pemikir masyarakat menganggap ancaman fitnah digital ini jauh lebih merbahaya daripada virus fizikal seperti Covid-19.

Mungkin ada yang menganggap kenyataan ini keterlaluan, namun jika kita perhalusi kesannya terhadap kesejahteraan sosial, moral masyarakat dan ke­stabilan negara, dakwaan ini ada benarnya.

Mereka yang menabur fitnah digital juga tidak serik walaupun ada diantara mereka berjaya di­saman dan terpaksa membayar denda beribu ringgit. Ramai adalah dari kalangan orang politik. Paling sedih majoritinya Islam.

Jika Covid-19 menyerang paru-paru dan sistem pernafasan, fitnah pula menyerang akal fikiran, hati dan hubungan sesama manusia. Lebih membimbangkan, fitnah di alam maya mudah tersebar tanpa sempadan, tanpa tapisan, dan tanpa pengesahan.

Satu klik “share” atau “forward” di WhatsApp atau Facebook mampu memindahkan maklumat palsu ke ribuan individu dalam masa beberapa saat.

Sukar dikawal

Berbeza dengan virus Co­vid-19 yang ada vaksin, protokol kesihatan dan penamatnya, fitnah di media sosial sukar dikawal dan kadangkala mustahil untuk dipadamkan sepenuhnya.

Walaupun posting asal di­pa­dam atau penafian dibuat, salinan dan kesannya terus hidup di alam maya. Terdapat fitnah menidakkan keberkesanan vaksin. Ini banyak mengelirukan rakyat.

Fitnah bukan sekadar menjejaskan reputasi individu, malah boleh menghancurkan kerjaya, institusi, dan perpaduan masyarakat.

Sejarah menunjukkan bagaimana berita palsu boleh mencetuskan rusuhan, ketega­ngan kaum, perpecahan politik dan keruntuhan moral dalam masyarakat. Lebih membimbangkan, fitnah moden kini mengambil bentuk yang lebih licik — diselit dengan unsur se­para benar, manipulasi gambar, petikan video yang diubahsuai, dan kempen siber yang terancang.

Ramai yang terpedaya dengan sebaran fitnah alam maya. Malah sudah mula tidak terkawal.

Jika Covid-19 memerlukan tempoh inkubasi untuk me­nyerang manusia, fitnah pula merebak sekelip mata, dipacu oleh algoritma media sosial yang lebih mengutamakan kandungan sensasi daripada kebenaran.

Ia mencetuskan persepsi negatif terhadap individu, organisasi atau kumpulan sebelum pihak berkenaan sempat mem­bela diri.

Dalam konteks negara seperti Malaysia yang berbilang kaum dan agama, fitnah di media sosial boleh menjadi pemangkin perpecahan yang sukar dipulihkan. Isu-isu politik, agama dan kaum sering kali menjadi bahan fitnah yang boleh mencetuskan kebencian, prasangka dan rusuhan maya yang akhirnya memberi kesan di dunia nyata.

Sungguhpun sudah banyak usaha dilakukan kerajaan, kesannya tidak meyakinkan. Selain itu, fitnah politik yang tidak bertanggungjawab boleh merosakkan kredibiliti institusi awam, menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mengganggu kestabilan ekonomi negara.

Dalam jangka panjang, masyarakat yang dibelenggu budaya fitnah akan hilang rasa hormat terhadap kebenaran, nilai moral dan norma sosial yang selama ini menjadi asas keharmonian negara.

Tapis kandungan

Justeru, usaha memerangi fitnah digital perlu dipandang serius, setanding dengan ancaman wabak kesihatan. Kerajaan perlu memperkemas undang-undang sedia ada, namun penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi.

Pendidikan literasi digital dan etika media sosial perlu diperkasakan sejak di bangku sekolah hingga ke peringkat masyarakat umum.

Platform media sosial juga ha­rus bertanggungjawab mena­pis kandungan fitnah dengan le­bih proaktif. Pada masa sama, ma­syarakat perlu dididik tentang ba­haya menyebarkan maklumat tanpa pengesahan dan didorong untuk menjadi pengguna media sosial yang beretika dan berintegriti.

Wabak Covid-19 telah me­ngajar kita tentang pentingnya disiplin, tanggungjawab bersama dan keprihatinan sosial. Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan dalam menangani wabak fitnah digital.

Tanpa tindakan segera dan kolektif, fitnah akan terus menjadi virus sosial yang perlahan-lahan melemahkan perpaduan masyarakat dan mencemarkan tamadun bangsa.

Sudah tiba masanya kita memandang serius ancaman ini, kerana fitnah lebih merbahaya daripada virus dan ia membunuh tanpa darah, memusnahkan tanpa senjata dan merebak tanpa sempadan.

Malangnya, banyak fitnah dipelopori ahli politik. Malah, pemimpin-pemimpin berwibawa negara juga turut dipergunakan oleh penyebar finah siber. Belum ada nampak penyelesaian yang berkesan dari usaha-usaha setakat ini.

Bagaimanapun ramai berpendapat isu ini tidak boleh dibiarkan. Usaha menghapuskan aktiviti penyebaran perlu ditingkatkan lagi. Jika tidak ditangani dengan berkesan, fenomena jahat ini mungkin boleh menjejaskan masa depan serta kelesta­rian negara.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Ibrahim ialah penganalisis dari Tan Sri Omar Centre for STI Policy di IISDS, UCSI University dan Felo Bersekutu di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN