SUNGAI PETANI – Seorang pemandu lori direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Perintah reman terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang masih bersekolah itu dikatakan mengenali suspek melalui aplikasi media sosial pada Rabu lalu.
Katanya, mereka kemudian dikatakan telah berjanji untuk berjumpa dan telah berjumpa kelmarin.
“Kita difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan masih bujang itu dikatakan sekali lagi mengajak mangsa keluar kira-kira pukul 8.30 malam, semalam.
“Suspek kemudian didakwa telah membawa kanak-kanak itu di belakang sebuah rumah di Kampung Bakar Kapor, di sini sebelum bertindak merogol mangsa,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang pulang kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE