KUALA LUMPUR – Usaha menangani cabaran keselamatan digital tidak boleh hanya dipikul oleh kerajaan, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan sektor swasta, akademik serta masyarakat awam.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha berdepan ancaman siber perlu tiga kali ganda dengan cara melabur dalam teknologi daripada jaminan kecerdasan buatan (AI) kepada enkripsi kalis kuantum.
“Selain itu, usaha perlu ditumpukan kepada mengukuhkan pakatan serantau, khususnya melalui ASEAN dan rakan kongsi yang dipercayai.
“Inisiatif Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN telah terbukti berkesan, manakala pembangunan daya tahan manusia pula penting bagi memastikan rakyat, tentera dan pemimpin kekal sebagai pelindung utama daripada kekacauan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Siber Siaga sempena
Pameran Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA) 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Selain itu, Adly berkata, ketahanan bukan bererti tidak pernah gagal, tetapi bagaimana sistem mampu gagal dengan selamat, cepat pulih, dan belajar lebih pantas daripada musuh.
“Dalam AI, operasi siber mahupun peperangan elektronik, ketahanan mesti dibina pada setiap lapisan termasuk teknikal, operasi dan manusia.
“Bagaimanapun, daya tahan sahaja tidak mencukupi tanpa membentuk norma bersama,” katanya.
Justeru itu katanya, semangat Malaysia Madani berteraskan kerjasama, belas kasihan dan tanggungjawab harus menjadi panduan dalam menentukan arah tuju penggunaan teknologi pada masa depan.
“Jika kita bijak memilih, keunggulan teknologi boleh menjamin keamanan dan kemakmuran.
“Tetapi jika kita teragak-agak, ia mampu memperdalamkan ketidakstabilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE