PETALING JAYA – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Memoir Shamsiah Fakeh mengundang rasa kesal dalam kalangan pemimpin apabila keputusan itu disifatkan tidak berasas.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor yang juga merupakan cucu kepada Shamsiah Fakeh, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai berhubung perintah larangan tersebut.
Menurutnya, memoir berkenaan telah diterbitkan sejak tahun 2004 dan sudah lebih dua dekad berada di pasaran tanpa menimbulkan sebarang isu keselamatan atau gerakan ekstrem.
“Buku ini lebih kepada penceritaan perjalanan hidup dan pengalaman Shamsiah Fakeh. Tiada bukti ia mencetuskan sebarang gerakan ekstrem sepanjang tempoh itu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Jamaliah turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan KDN yang menurutnya boleh memberi kesan negatif terhadap ruang wacana intelektual dalam negara.
Katanya, langkah tersebut berpotensi menyempitkan budaya ilmu selain membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem dalam kalangan masyarakat.
“Secara peribadi, saya amat kecewa dengan tindakan ini. Ia bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan perkembangan diskusi sihat dalam masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak KDN untuk menilai semula keputusan tersebut dan menarik balik perintah larangan ke atas buku berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan arahan larangan (pengharaman) terhadap Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke‑10 dan sebuah lagi buku berkaitan Rejimen 10.
Penerbitnya, Gerakbudaya mengesahkan menerima notis KDN dan telah mengeluarkan kenyataan media berhubung pengharaman itu. – KOSMO! ONLINE














