PUTRAJAYA – Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Nasran Omar dilantik sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) berkuat kuasa esok.
Surat pelantikan beliau disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam bagi menggantikan ANM sebelum ini yang bersara esok.
Menurut JANM, Nasran berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 31 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada tahun 1994 sebagai Penolong Pengarah di Seksyen Piawaian Perakaunan.
Katanya, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan-MBA (UTM).
“Beliau mempunyai keahlian professional The Malaysian Institute of Certified Public Accountants-CPA (M), Malaysian Institute of Accountant-C.A (M) dan The Chartered Institute of Public Finance and Accountancy-CPFA (UK),” katanya dalam kenyataan.
JANM berkata, sepanjang perkhidmatannya, beliau berkhidmat di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan antaranya sebagai Bendahari Negeri Melaka, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pendidikan.
“Maka, beliau mempunyai kepakaran dalam mengendalikan perakaunan dan kewangan sektor awam.
“Perkara ini termasuklah pengurusan akaun negeri, operasi perakaunan, pengurusan dana dan pengauditan, perakaunan forensik dan penyediaan penyata kewangan,” katanya.
JANM berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi (BPOPA) JANM sejak tahun 2023 sehingga tahun 2025 yang berfungsi mengurus aliran tunai kerajaan dan menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beliau amat memahami hal ehwal, isu dan cabaran dalam bidang perakaunan negara.
“Kewibawaan dan pengalamannya dalam kepimpinan perakaunan sektor awam terbukti apabila pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Akauntan Sektor Awam (PSA) dari tahun 2019 hingga 2023.
“Sepanjang tempoh ini, beliau juga menjadi ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan pernah mengganggotai pelbagai jawatankuasa di peringkat MIA seperti jawatankuasa penyiasatan, jawatankuasa kewangan Islam serta jawatankuasa digital, teknologi dan inovasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE








