fbpx
Media sosial kini seakan bertukar menjadi gelanggang terbuka untuk mengutuk, menghentam dan mengkritik orang lain tanpa batas.

Ngerinya dunia digital, ibarat medan perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBARAT sebuah lautan tenang yang menyimpan badai di dasarnya, Threads kini menjadi saksi betapa mudahnya adab diketepikan demi sebuah perhatian singkat.

Setiap hantaran bukan lagi tentang perkongsian ilmu atau ukhwah, sebaliknya bertukar menjadi gelanggang toksik di mana ‘jari-jemari berbisa’ bebas menari, melontarkan kata-kata nista yang mampu merobohkan benteng jiwa seseorang.

Fenomena tersebut mencetuskan kegusaran buat penyanyi, Anuar Zain yang bimbang melihat arus zaman yang kian deras menghakis nilai susila.

Bagi Anuar, keindahan teknologi yang sepatutnya menyatukan, kini seolah-olah menjadi medan yang menakutkan.

“Sekarang ini lain, komen-komen peminat sangat menakutkan. Kadang orang suka sokong individu yang salah. Orang yang betul kau hentam, orang salah itu yang kau kata betul,” katanya.

Pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain mendedahkan dia lebih selesa menjadi ‘pemerhati’ yang diam daripada terlibat dalam kancah aplikasi media sosial yang kian agresif seperti Threads.

“Threads tak berani, saya baca saja terus rasa tak boleh. Saya ada (Threads) tapi memang takut dan tidak pernah muat naik apa-apa.

“Saya pun tak pernah tanda suka, ‘repost’ atau muat naik apa-apa. Bila baca kadang-kadang saya macam ‘Ya Allah, orang muda ini bahasa mereka gunakan dengan mencarut dan kasarnya’,” katanya lagi.

Anuar turut menzahirkan rasa simpati apabila melihat rakan-rakan seperjuangan dalam industri sering menjadi mangsa kecaman tanpa belas kasihan, terutama membabitkan isu peribadi seperti perceraian.

“Bila artis bercerai kasihan mereka kena hentam. Kau kata padan muka dan sesuailah dengan muka.

“Orang dalam kesusahan, kita tak tahu apa mereka lalui. Saya sejujurnya takut.

“Kalau boleh kawal diri kita dalam Threads. Cakap benda-benda manis,” ujarnya lagi.

Lelaki berusia 56 tahun itu turut terkilan melihat perselisihan terbuka yang berlaku di ruang siber, di mana batasan antara peminat dan selebriti seperti sudah hilang.

“Saya tengok ada yang kutuk artis, peminat kutuk artis lain. Artis pula menjawab balik dan jadi bergaduh, Subhanallah.

“Kadang mereka komen macam dia duduk dengan orang tersebut. Tahu semua dalam kain, kalau betul diam saja simpan dalam hati.

“Sebenarnya artis di Malaysia banyak kena penyakit ain termasuk ahli politik dan pempengaruh. Sebab orang mengutuk, kasihan.

“Mereka dah macam tak ada batasan, jadi artis sekarang kan lagi seram daripada dulu, seram,” jelasnya.

Sedar gerak-gerinya sering diperhatikan dan menjadi mangsa spekulasi, pelantun lagu Sedetik Lebih itu memilih untuk tak ambil peduli terhadap kata-kata individu lain.

“Ya (berhati-hati). Kadang-kadang saya duduk dengan perempuan, jadi bahan mengata. Kalau duduk dengan lelaki pun sama.

“Sekarang ini lantaklah orang nak cakap apa pun, kalau ada yang nak fitnah itu antara kau dengan Tuhan,” tuturnya.

Dia juga memilih jalan kemaafan terhadap sesiapa yang pernah berbuat dosa kepadanya.

“Saya tetap sentiasa memaafkan, tiada yang berdosa dengan saya. Saya dari dulu begitu, tetap saya maafkan.

“Kita pun manusia pendosa kan? Saya lebih tenang begitu, jadi tak bawa beban sebab dah maafkan semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN