KUALA LUMPUR – Dua tahun bergelar mualaf, pelakon Angeline Tan bersyukur dikelilingi dengan orang-orang baik sekali gus menebalkan iman di dadanya untuk bergelar Muslimah sejati.
Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan berkata, antara perkara yang paling penting menjadi keutamaannya adalah sentiasa menjaga ibadah mendirikan solat fardu lima waktu.
“Mula-mula (peluk Islam) dulu memang susah, sebab tak biasa. Tapi sekarang, dah biasa (jaga solat).
“Macam sekarang saya berada di sini (Kuala Lumpur), nanti balik rumah dan kalau tak mampu (sempat), saya akan jamakkan (di Kelantan).
“Insya-Allah, sampai ke hari ini, saya tak pernah tinggal solat sebab saya tak nak sia-siakan satu permulaan yang bagus,” katanya yang kini menetap di Kelantan.
Kata figura yang cukup dikenali menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, dia percaya dikurniakan kecekalan hati yang kuat untuk sentiasa mengutamakan solat fardu kerana itu adalah tiang agama.
“Saya kena betul-betul nekad ikut peraturan dan segala bimbingan.
“Saya dah tanamkan dalam hati andai sekali tinggalkan solat, akan ada yang kedua dan berikutnya.
“Kalau kita tak pernah (tinggal solat), disiplin itu memang sudah ada dan kita akan fikir solat itu ibarat ‘homework’ yang perlu disiapkan,” katanya lagi usai sidang media siri drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet.
Ditebak pertanyaan ramai yang mengidolakan dirinya dalam mendalami agama, Angeline berkata: “Ilmu agama saya masih terlalu cetek.
“Saya masih belajar mengaji dan berguru untuk kenal Islam lebih mendalam. Apa yang saya kongsi itu hanyalah perkongsian peribadi.
“Kalau orang dapat kebaikan daripada apa yang yang kongsikan, alhamdulillah. Itu semua atas izin Allah.”
Baru-baru ini, Angeline, 58, diumumkan penerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).
Untuk rekod, beliau memeluk agama Islam pada September 2023 sebelum berkahwin dengan Sabri Yunus sebulan kemudian. – KOSMO! ONLINE