fbpx
LILIS SASLINDA (kiri) melihat seorang pelanggan mengisi minyak RON95 pada sesi walkobout inisiatif Budi95 di Stesen Minyak Petronas di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, hari ini. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

Budi95: KPDN tingkat pemantauan stesen minyak sempadan JB – Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertingkat pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan Johor Bahru–Singapura bagi memastikan larangan pengisian petrol bersubsidi RON95 oleh kenderaan asing dipatuhi, susulan pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95), bermula hari ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala di lapangan bagi mengelakkan sebarang bentuk manipulasi atau penyelewengan subsidi petrol itu.

“Mengikut kekuatan anggota dan pegawai penguatkuasa yang ada, agak mustahil untuk menempatkan pegawai penguat kuasa di setiap stesen minyak.

“Namun pemantauan tetap dijalankan melalui rondaan secara berkala dan kami harap kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat cubaan menyeleweng subsidi ini.

“Pengusaha stesen minyak juga perlu memastikan tiada kenderaan asing mengisi RON95,” katanya ketika sesi walkabout di Stesen Minyak Petronas di Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.

Lilis Saslinda menambah, semua rakyat Malaysia yang layak perlu menunjukkan kad pengenalan dan lesen kenderaan sah ketika mengisi minyak untuk menikmati harga subsidi tersebut.

Katanya lagi, walaupun terdapat kemungkinan cubaan daripada kenderaan asing khususnya berhampiran sempadan, kerajaan sudah menegaskan bahawa pengisian RON95 oleh kenderaan pendaftaran luar negara adalah dilarang sama sekali.

“Negara jiran pun maklum tidak kira Singapura atau Thailand sekali, bahawa kerajaan tegas dalam perkara ini. Mereka hanya dibenarkan menggunakan RON97,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, KPDN turut membuka kaunter aduan khas di Menara Ansar, Johor Bahru bagi membantu pemilik kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang berdaftar di bawah MySubsidi Petrol atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi.

Selain itu, Hari Bertemu Pelanggan juga akan dianjurkan antara 1 hingga 7 Oktober ini bagi memberi penerangan lanjut kepada pengusaha teksi, kereta sewa serta pihak berkepentingan mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar.

Program Budi95 diperkenalkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang layak terus menikmati petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, manakala kenderaan asing diwajibkan menggunakan RON97.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN